Wednesday, March 26

"Krisis kepimpinan Abdullah: Ku Li menghadap Agong? "



oleh: Abdul Halim Mohd Rashid



KUALA LUMPUR, 26 Mac (Hrkh) - Adakah orang yang menjadi harapan untuk pemulihan Umno, Tengku Razaleig Hamzah menghadap Yang di-Pertuan Agong menjelang malam semalam?
Persoalan itu timbul apabila bekas Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC), Datu Ruhanie Ahmad mendedahkan Perdana Menteri yang dituntut berundur, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak telahpun menghadap Yang di-Pertuan Agong semalam dan Ahad lalu.
"Berdasarkan maklumat yang saya terima daripada beberapa sumber yang berwibawa, Abdullah sebenarnya sudah pun mengadap Agong di Istana Negara, Kuala Lumpur, pada kira-kira jam 6.30 petang, 25 Mac 2008.
"Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, pula diberitakan telah mengadap Baginda pada tengahari 24 Mac 2008," kata Ruhanie dalam blognya kuda-kepang.blogspot.com
Persoalan dan spekulasi timbul mengenai siapakah orang ketiga yang menghadap Yang di-Pertuan Agong selepas Abdullah menghadap baginda.
"Dan, seorang lagi tokoh Umno yang kini dikatakan sebagai "the man on the spot" dipercayai mengadap Baginda selepas Abdullah pada senja 25 Mac 2008.
"Berdasarkan info inilah saya membuat posting (bertajuk) 'Percaturan Politik Malaysia Terkini: Adakah Sesuatu Sedang Menggelegak?'" kata bekas Ahli Parlimen Parit Sulong itu.
Bagaimanapun, beliau enggan menyatakan "the man on the spot" itu.
"Selanjutnya, saya serahkan kepada kebijaksanaan dan imajinasi anda untuk meneruskan plot kisah ini".
Oleh kerana beliau menyebut "seorang lagi tokoh Umno yang kini dikatakan sebagai 'the man on the spot'", besar kemungkinan tokoh itu ialah Tengku Razaleigh.
Ruhanie mendakwa, segala-galanya adalah demi masa depan dan demi kesejahteraan rakyat dan negara Malaysia seluruhnya - untuk menjernihkan suasana, untuk meleraikan kekusutan dan paling penting lagi utama, semoga aspirasi rakyat jelata menerusi pilihan raya umum 8 Mac lalu dihormati selaras dengan tuntutan sistem demokrasi berparlimen dan Raja berperlembagaan.
"Oleh itu, sama-samalah kita tunggu perkembangan selanjutnya dengan penuh sabar.
"Sama-samalah juga kita panjatkan doa ke hadrat Illahi semoga segala-galanya beroleh restu, hidayah dan petunjuk menuju ke arah perjuangan yang lurus dan diredhai-Nya. Insya Allah!" katanya menutup perbicaraan.


sumber : harakah daily

No comments: